ADENG IDRUS
LIMBANG: Sejumlah tiga pusat kuarantin dibuka termasuk satu di Lawas ( Stadium Tertutup Lawas) dan dua di Limbang, melibatkan Stadium Tertutup dan asrama Dewan Suarah Limbang.
Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, pembukaan pusat kuarantin ini diharap dapat membantu pihak Hospital Limbang untuk memuatkan pesakit di bawah pemerhatian (PUI).
Beliau ditemui media ketika mengadakan lawatan ke Hospital Limbang turut memberitahu bahawa pada masa ini terdapat 10 pesakit yang ada gejala COVID-19 ditempatkan di dua wad kuarantin Hospital Limbang.
Sementara itu 30 orang pesakit PUI yang tidak ada gejala di tempatkan di Stadium Tertutup dan lapan pesakit di asrama Dewan Suarah Limbang.
Bagi pesakit di Lawas yang ada gejala mereka akan ditempatkan di Hospital Limbang dan 32 pesakit PUI di Lawas yang tidak ada gejala dikuarantin di Stadium Tertutup Lawas.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, meskipun terkawal pihaknya sentiasa berhati-hati termasuk menyiasat, menyaring dan mengubati pesakit yang menghidap COVID-19.
Pada masa yang sama, semua pesakit PUI dan PUS akan diambil sampel untuk mengesan sama ada positif COVID-19.
Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) katanya sekitar 95 peratus orang awam mematuhi arahan, dan Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa bekerjasama rapat dengan negara Brunei.
Pada masa ini kata beliau Negara Brunei turut memberi kelonggaran kepada lori yang membawa bahan keperluan untuk melalui negara itu dengan membuat permohonan terus melalui Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) negara itu selain kelonggaran kepada pegawai kerajaan yang bertugas dengan dokumen berkaitan.
Hadir sama ialah ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu.