LAWAS: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menafikan laporan bahawa persetujuan telah dicapai untuk gabungan itu menyokong Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Premier Sarawak berkata setakat ini tiada perjanjian sedemikian dibuat gabungan itu.
“Saya tidak tahu dan tidak dapat komen kerana saya pun tahu melalui siaran dalam akhbar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sarawakku Sayang Kampung Long Tuma Lawas di sini hari ini.
Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang memetik Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan BN yakin dapat membentuk kerajaan stabil selepas PRU-15 dengan sokongan daripada GPS.
Dalam laporan yang diterbitkan pada 21 Oktober lalu, Ahmad juga berkata perkara itu telah dipersetujui dalam mesyuarat sebelum ini antara kedua-dua pakatan berkenaan.
GPS adalah gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang merupakan bekas parti komponen BN.
Gabungan itu mengumumkan keluar BN pada Jun 2018.
BN kini dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)
Oleh ADENG EDRUS