KOTA SAMARAHAN: Kira-kira 1,000 jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Kota Samarahan sudah bersiap sedia untuk dikerah bagi menggapai usaha gabungan itu mempertahankan kerusi berkenaan.
Malam ini, kira-kira 1,000 jentera GPS hadir pada pelancaran jentera kempen itu yang diadakan di kompleks beli-belah popular ‘Summer Mall’ Kota Samarahan.
Ia bagi membantu kempen penyandang kerusi Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang yang berdepan satu lawan satu dengan Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili, seorang pesara.
Hadir sama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan Parlimen berkenaan iaitu Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (Asajaya), Datuk Hamzah Brahim (Stakan) dan Dato Idris Buang (Muara Tuang).
Dalam ucapannya, Rubiah berkata beliau berharap sokongan penuh pengundi bagi memastikan GPS berjaya mempertahankan kerusi itu.
“Kita tawan dan kita menangi hati rakyat dan penduduk Samarahan bagi menyokong GPS pada PRU-15 kali ini.
“Hanya orang kita sendiri sahaja yang dapat membantu orang kita di negeri Sarawak terutamanya di kawasan Kota Samarahan. GPS harus menang dengan bergaya dan cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Hamzah Ibrahim menyeru orang Samarahan untuk turun mengundi pada 19 November nanti.
“Sendiri mahu ingat, apabila hari mengundi kelak parti mana yang harus kita sokong.
“Kenapa kita harus sokong GPS. Sendiri mahu ingat!. Pastikan semua hadir untuk turun mengundi kelak,” katanya.
Idris Buang turut menyatakan bahawa GPS adalah satu-satunya parti yang stabil di Malaysia.
“Di Semenanjung kita lihat macam-macam cerita politik. Kita di Sarawak harmoni aman damai kerana pemimpin kita pandai mengurus.
“Jangan sama sekali kita tidak menyokong GPS. Setiap undi adalah penting untuk masa depan anak-anak dan generasi akan datang.
“Dengan ini kita minta semua warga penduduk Kota Samarahan untuk turun mengundi termasuklah belia 18 tahun,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA