KUCHING, 11 November: Konsep semak dan imbang dalam demokrasi perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta, bukannya dijadikan alasan untuk membuat dakwaan tanpa bukti sehingga menjejaskan reputasi seseorang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, rakyat mempunyai ruang untuk menilai prestasi kerajaan dan wakil rakyat menerusi pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun. Justeru, pihak yang mengemukakan kritikan juga perlu bertanggungjawab terhadap dakwaan yang dibuat.
Beliau mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan konsep semak dan imbang sebagai alasan untuk membuat dakwaan terhadap wakil rakyat, sedangkan perkara berkenaan boleh dilaporkan kepada agensi penguat kuasa sekiranya mempunyai bukti.
Menurut Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu, dakwaan berkaitan salah laku tidak seharusnya sekadar dibangkitkan melalui kenyataan atau persoalan terbuka, sebaliknya perlu disertakan bukti dan dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
“Kalau ada bukti, kemukakan bukti dan terdapat agensi yang sesuai untuk mengambil tindakan. Buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Dr Sim turut menegaskan bahawa tanggungjawab wakil rakyat bukan sekadar mengkritik atau mempersoalkan tindakan pihak lain, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi hasil kerja dan usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
Mengambil contoh kawasan Batu Kawa, beliau berkata pembangunan yang dilaksanakan sepanjang tempoh 10 tahun lalu telah membawa perubahan dari segi infrastruktur dan kemudahan awam, termasuk kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan perumahan.
Katanya, wakil rakyat seharusnya mula menjalankan tanggungjawab sebaik sahaja dipilih dan tidak hanya memberikan tumpuan kepada khidmat masyarakat apabila pilihan raya semakin hampir.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan khidmat bergerak yang dilaksanakannya setiap minggu membolehkan penduduk bertemu secara langsung untuk menyampaikan masalah serta mendapatkan bantuan.
Oleh Afiq Sallehi





