KUCHING: Seramai 92 calon bersaing untuk merebut 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
Setelah proses penamaan calon berakhir tengah hari semalam, 17 kerusi Parlimen menyaksikan saingan tiga penjuru.
Kerusi terbabit ialah Mas Gading, Santubong, Petra Jaya, Bandar Kuching, Stampin, Puncak Borneo, Batang Lupar, Betong, Saratok, Sibu, Selangau, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri, Baram dan Lawas.
Saingan satu lawan satu pula berlaku di lapan kerusi iaitu Samarahan, Batang Sadong, Tanjong Manis, Igan , Sarikei, Mukah, Hulu Rajang dan Limbang.
Lima lagi kerusi menyaksikan persaingan empat penjuru iaitu Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Julau dan Lanang manakala persaingan lima penjuru berlaku hanya di kerusi Kanowit.
Bagaimanapun, tiada calon menang tanpa bertanding kali ini, trend yang sama seperti berlaku di Semenanjung dan Sabah.
Bersasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini Sarawak mempunyai 1,943,074 pengundi yanh layak mengundi pada PRU-15.
Ini bertambah berbanding 1,220,960 pemilih yang direkodkan pada PRU lalu dan daripada jumlah itu, 975,618 orang adalah pengundi lelaki manakala pengundi wanita 967,456 orang (49.79 peratus)
Berdasarkan rekod SPR juga, seramai 825,791 orang adalah pengundi berumur 21 hingga 39 tahun manakala pengundi 18 tahun hingga 20 tahun adalah 129,034 orang.
Daftar keseluruhan juga menunjukkan majoriti pemilih berusia bawah 60 tahun iaitu seramai 1,539,645 manakala 355,413 pemilih berusia 60 tahun ke atas.
Seramai 38,148 petugas akan bertugas untuk PRU15 di Sarwak melibatkan 1,943 pusat mengundi termasuk 55 pusat mengundi awal dengan 4,286 jumlah saluran.
1,943 pusat pengundi telah diwartakan membabitkan sekolah, rumah panjang dan beberapa premis lain yang dikenal pasti. Daripda jumlah itu, 74 pusat pengundi yang terletak di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses telekomunikasi.