SIMANGGANG: Dato Masir Kujat yang berusaha mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman untuk penggal keempat, bakal berdepan saingan sengit daripada parti lamanya, Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Ini kerana pencabar utamanya, bukan calang-calang orang iaitu Ketua Wanita PRS Dato Sri Doris Sophia Brodi, yang sebelum ini pernah mencatat sejarah sebagai wanita pertama di Malaysia menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.
Doris adalah calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdepan saingan empat penjuru dengan Masir bertanding sebagai calon Bebas.
Dua lagi adalah calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wilson Entabang dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari gabungan Pakatan Harapan (PH), Tay Wei Wei.
Pada PRU-14, Masir menang kerusi Parlimen Sri Aman atas tiket PRS.
Pada 2019 beliau melompat parti menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) tetapi sejak Mac lalu pula, keluar PSB untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Pencalonan Masir dicadang oleh Roland Thua Tamin dan disokong oleh Ripee Pree.
Pencalonan Doris Sophia, 62, dicadang oleh Helen Jimbai dan disokong oleh Phyllis Muda.
Calon PSB, Wilson pula dicadang oleh Davis@ David Akon dan disokong oleh Tan Choon Poh.
Tay calon muka baharu PH dicadang oleh Edi @ Eddie Banyan dan disokong oleh Ismawi Isa.
Terdahulu, Doris Brodi diiringi kira-kira 1,000 penyokong GPS ke pusat penamaan calon di Stadium Tertutup Sri Aman.