KUCHING: Dato Sri Nancy Shukri yang beralih ke Parlimen Santubong dicabar calon Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Dua pencabarnya ialah Mohammad Zain Peli mewakili AMANAH dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas, Affendi Jeman.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Santubong, Sophi Jebal mengumumkan penerimaan tiga calon itu pada 11.06 pagi tadi.
Nancy (GPS-PBB) calon terawal tiba di pusat penamaan calon di Dewan Sri Merpati kira-kira 7.15 pagi bersama penyokong Rosmah Zaini dan pencadang Azizul Annuar Adenan.
Lebih 500 penyokong GPS hadir untuk memberi sokongan termasuk penyandang kerusi Parlimen Santubong, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengundur diri secara sukarela.
Pada masa sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut hadir memberi sokongan kepada Nancy.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Demak Baru, Hazland Abang Hipni.
Selepas itu, pada 8.18 pagi calon AMANAH, Mohamad Zain Peli tiba bersama penyokong Zainudin Rayak dan pencadang Yunus Rabuan.
Pada 8.55 pagi calon BEBAS, Affendi tiba bersama penyokong iaitu Salmi Bujang dan pencadang, Dayang Roshaima Hassimsa.
Sebelum ini, Affendi dikatakan pernah menjadi pengerusi penaja Umno Sarawak, selain pernah menawarkan diri untuk menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.
Pada PRU-14 pada 2018, Wan Junaidi menewaskan calon lawan daripada PH, Mohamad Fidzuan Zaidi dalam pertarungan satu lawan satu di kerusi majoriti Melayu yang mempunyai lebih 45,600 pengundi dan menang majoriti 19,485 undi.