SIBUTI : Penyandang kerusi Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni (GPS-PBB) terbabit dalam saingan tiga penjuru.
Beliau yang berusaha mempertahankan kerusi itu bagi penggal kedua, dicabar Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Bobby William dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zulhaidah Suboh.
Pengesahan pencalonan itu, diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sibuti, Rohannie Yusuf pada 12.14 tengah hari tadi di Dewan Masyarakat Bekenu.
Tiada sebarang bantahan diterima daripada ketiga-tiga calon terbabit.
Lukanisman tiba di luar pusat penamaan calon 8.05 pagi dan menyerahkan borang pencalonannya pada 9.04 pagi tadi.
Mengiringi Lukanisman ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus selalu pencadang dan penyokong, Dr. Ripin Lamat yang juga ADUN Lambir.
Sementara itu, calon PBDS Bobby William tiba 7.15 pagi dan menyerahkan borang calon pada 9.10 pagi yang turut bersama pencadang Siti Berangkut dan penyokong Rusty Watt.
Calon PKR Zulhaidah pula tiba 8.50 pagi dan menyerahkan borang calon pada 9.15 pagi yang turut bersama pencadang Ladik Jupong dan penyokong Norhafizah Mohamad Joharie.
Pada cabutan undi untuk nama di kertas undi, Lukanisman Awang Sauni di petak pertama diikuti petak kedua Zulhaidah Suboh dan ketiga Bobby William.
Lebih 1,500 penyokong GPS tiba seawal 7.30 pagi di kawasan sekitar Dewan Masyarakat Bekenu, manakala penyokong PBDS dan PKR masing-masing sekitar hampir 100 orang, juga hadir.