KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof dicabar calon PKR dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR).
Fadillah yang juga Ketua Whip GPS, berdepan calon PKR, Sopian Julaihi dan Presiden SEDAR, Othman Abdillah.
Pengumuman rasmi calon bertanding diumum oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Petra Jaya, Mohamed Khaidir Abang di pusat penamaan calon, Dewan Al-Muneerah SMK Petra Jaya pada jam 11.35 pagi tadi.
Beliau turut mengumumkan urutan calon satu, Fadillah, calon dua Sopian dan calon tiga Othman selepas borang pencalonan selesai disemak sekitar jam 11.35 pagi.
“Ketiga-tiga calon bertanding diterima dan tiada yang digugurkan,” katanya.
Untuk rekod, Fadillah mewakili kerusi itu selama empat penggal berturut-turut sejak 2004, menjadikan ia sebagai kubu kuat GPS.
Pada PRU-14, Fadillah mempertahankan kerusinya dengan majoriti 15,017 undi, menewaskan calon PKR, Nor Irwan Ahmat Nor dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Hamdan Sani.