BINTULU: Penyandang kerusi Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing bersama kira-kira 500 penyokong tiba di pusat penamaan calon, Dewan Suarah Bintulu pada 8.51 pagi ini.
Turut mengiringi beliau ialah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Johnny Pang Leong Ming dan Datuk Talib Zulpilip.
Sebelum itu, calon Perikatan Nasional (PN) Duke Janteng bersama sekitar 300 penyokongnya pula tiba pada 8.25 pagi.
Beliau diiringi Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdullah Suffian.
Turut bertanding ialah calon Pakatan Harapan(PH) dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chiew Chan Yew.
Beliau tiba pada 8.46 pagi, diiringi bekas Ahli Parlimen Bintulu dan ADUN Kidurong, Chiew Chui Sing dan Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling bersama 30 penyokong.
Tiga calon itu menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Bintulu Dino Amit.
Tinjauan Utusan Sarawak di pekarangan pusat penamaan calon mendapati suasana meriah dengan sorakan daripada para penyokong bagi memberi semangat kepada calon pilihan mereka.