FAIZAL BUJANG
KELEGAAN buat pengemudi skuad Sarawak United III, Ahmad Fairus Mohd. Yunus apabila dapat bersama keluarga tersayang menyambut lebaran tahun ini di kediaman mereka di ibu negara.
Sekalipun, sedikit terkilan tidak dapat balik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mertua di Kota Samarahan.
“Lega apabila saya dapat bersama keluarga menyambut lebaran tahun ini, walaupun pada awalnya risau kerana tidak dapat balik selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujar Ahmad Fairus yang lebih mesra dipanggil ‘Apai’.
Menurut beliau, pada awal perancangan memang agak risau tatkala memikir tempoh PKP yang bagaikan tiada peluang untuk balik ke rumah di ibu negara.
Bagaimanapun, apabila terdapat kelonggaran diberikan oleh kerajaan sekali gus memberi kesempatan untuk merebut peluang balik.
“Apa yang penting bagi saya dapat bersama isteri dan anak-anak. Dan saya akan kembali ke Kuching pada 3 Jun depan,” tambah beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Fairus memberitahu, pihaknya masih menunggu perkeliling berhubung status Liga Piala Presiden 2020.
“Sama ada disambung semula atau sebaliknya belum dapat dipastikan lagi. Kita masih lagi menunggu perkeliling dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).” jelas beliau.