SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Pemilihan Dato Sri Nancy Shukri sebagai calon kerusi Parlimen Santubong disambut baik rakyat di situ termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Hazland Abang Hipni berkata, Nancy bukan calang-calang orang.
“Dato Sri Nancy bukanlah calang-calang orang. Beliau Ahli Parlimen berpengalaman dan juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Kita berharap beliau akan dikekalkan sebagai Menteri Pelancongan dan membawa banyak lagi pembangunan di sini.
“Paling penting adalah untuk menang besar,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut.
Parlimen Santubong merangkumi DUN Demak Laut, DUN Pantai Damai dan DUN Tanjung Datu.
Terdahulu, Dr Hazland yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) antara Pusat Kecemerlangan Teknologi (CENTEXS), Ethos dan Intertek sempena Green Future Sarawak 2022 di sini, hari ini.
Nancy adalah penyandang kerusi Parlimen Batang Sadong tetapi beralih ke Santubong, menggantikan Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengundur diri secara sukarela.
Dr Hazland berkata, pertukaran itu diharap sama seperti Wan Junaidi jika tidak lebih lagi, untuk menyuarakan ‘suara rakyat Santubong’ di Dewan Rakyat.
Justeru, beliau menasihati pengundi muda menggunakan akal fikiran yang bijak untuk membuat pilihan.
“Ini kerana pada akhirnya, kemenangan GPS itu akan menentukan masa depan mereka juga,” katanya.