AZREEN KERIA
KUCHING: Gandingan muka baharu dan lama sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kali ini pasti membawa idea segar untuk kepentingan rakyat.
Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof berkata muka lama yang penuh berpengalaman dan muka baharu dari kalangan profesional, akan memberi impak besar.
“Ini meneruskan tradisi GPS menggandingkan muka lama penuh berpengalaman dan muka baharu dari kalangan profesional, pastinya akan membawa idea segar untuk memikul cabaran GPS di 31 kerusi Parlimen pada PRU-15.
“Senarai barisan calon GPS seperti diumumkan Premier Sarawak juga mencerminkan persefahaman dan kesepakatan antara penyandang kerusi Parlimen yang memberi laluan kepada muka baharu bagi meneruskan kesinambungan perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Fadillah yang juga penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya berkata barisan mantap yang diumumkan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu juga adalah cerminan keutuhan GPS dalam mendepani PRU-15.
“Itulah kematangan berpolitik dalam GPS, semua pemimpin dan ahli berpegang teguh kepada prinsip meletakkan keutamaan parti melebihi kepentingan diri.
“Semangat perpaduan dan kekeluargaan yang kukuh ini menjadi nadi kekuatan GPS yang dianggotai empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).
“Justeru kita tidak boleh menjadikan kecemerlangan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Disember tahun lalu sebagai sandaran,” katanya.
Jelas Fadillah, kesemua calon dan jentera pilihan raya GPS tidak boleh memandang ringan cabaran parti lawan.
“Sebaliknya perlu bekerja keras untuk memenangi sokongan pengundi segenap lapisan usia dan memastikan setiap pendekatan, dasar serta perjuangan GPS sampai kepada rakyat.
“GPS adalah satu-satunya gabungan parti tempatan yang telah terbukti berjaya membawa suara Sarawak ke peringkat Persekutuan dan berjaya memperjuangkan hak Sarawak dengan hanya satu nada iaitu ”Utamakan Sarawak” atau ”Sarawak First”, katanya.
Beliau turut mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat cemerlang penyandang kerusi Parlimen Santubong, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang memilih untuk bersara ketika berada di kemuncak kejayaan sebagai Ahli Parlimen dan Menteri dalam Kabinet Persekutuan.
“Antara kejayaan terbesar beliau ialah membawa kepada pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengukuhkan kedudukan Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
“Penghargaan dan terima kasih juga kepada Dato Sri Rohani Abdul Karim yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang menjadi Menteri di peringkat Persekutuan terutama ketika menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Juga terima kasih kepada penyandang Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chua yang turut mengundur diri, atas khidmat dan jasa bakti,” katanya.
Beliau juga berikrar untuk terus memperjuangkan pembangunan dan kesejahteraan penduduk di Petra Jaya jika diberi mandat sekali lagi pada PRU ke-15 ini.