RYNNA SHA’ERRA
KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) mempertaruhkan Ketua Wanitanya, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, 61, sebagai muka baharu untuk bertanding kerusi Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November nanti.
Doris Sophia berkata, beliau tidak akan ‘berehat’ setelah menerima watikah sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) malah akan terus berusaha untuk memenangi hati dan jiwa rakyat di Sri Aman.
“Dengan terpilihnya saya sebagai calon bagi bertanding di kerusi Parlimen Sri Aman, maka saya sama seperti jentera GPS dan akan terus fokus memenangi hati rakyat di Sri Aman untuk menyokong GPS.
“Saya mahu rakyat Sri Aman dapat memahami hasrat dan rancangan GPS untuk rakyat Sarawak. Apabila saya dipilih sebagai wakil rakyat, saya berikrar untuk menegakkan perjuangan GPS selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya, hari ini.
Katanya, adalah sangat penting untuk mendidik rakyat di lapangan supaya dapat memahami perjuangan GPS yang dilaksanakan untuk Sarawak.
“Selama 14 hari akan datang adalah pusingan terakhir saya walaupun saya telah bergerak secara aktif sejak November 2019.
“(Tetapi) seperti yang saya katakan 14 hari adalah tempoh yang singkat, maka saya tidak akan terus berpuas hati. Ini adalah pusingan terakhir saya untuk menyentuh setiap hati dan setiap jiwa di Sri Aman,” katanya.
Doris bukan baharu dalam dunia politik dan pernah mencatat sejarah sebagai wanita pertama menyandang jawatan Timbalan Speaker Dewan Negara di Malaysia.
Doris dilantik senator pada 26 Januari 2012.
Untuk rekod, pada PRU-14, Datuk Masir Kujat menang kerusi itu atas tiket PRS tetapi menyertai pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Mac 2019.
Bagaimanapun, beliau keluar parti itu pula Mac lalu, untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas.