KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mengumumkan senarai penuh 31 calon yang akan bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Berdasarkan jemputan media, majlis penyerahan watikah kepada calon itu diadakan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, Petra Jaya pada jam 9.30 pagi ini.
Tumpuan sudah pasti muka baharu dan mereka yang bertukar kawasan untuk bertanding.
Sumber memberitahu Utusan Sarawak, beberapa muka baharu dijangka ditampilkan oleh empat anggota parti dalam GPS iaitu Parti PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Antaranya untuk mengisi tempat calon gabungan itu yang tewas pada PRU-14 empat tahun lalu selain beberapa penyandang kerusi Parlimen berundur untuk memberi laluan kepada muka baharu.
Antara tumpuan ialah penganti Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, 77, yang sudah melahirnya hasrat untuk berundur, bagi kerusi Parlimen Santubong.
Apakah benar penyandang kerusi Batang Sadong, Datuk Sri Nancy Shukri, 61, akan berpindah ke Santubong seperti yang tular di media sosial? Persoalan ini akan terjawab hari ini.
Perhatian juga pasti terarah ke kerusi Parlimen Puncak Borneo yang disandang oleh Datuk Willie Mongin,47, sama ada dipilih untuk mempertahankan kerusinya itu atau PBB memilih calon baharu.
Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14 2018, tetapi diterima menganggotai PBB 6 Ogos lalu tanpa sebarang komitmen.
PRS pula dikatakan sudah selesai memuktamadkan senarai calon setelah berdepan masalah pada peringkat awal.
Pada PRU-14, PRS bertanding di enam kerusi Parlimen tetapi tewas di tiga kawasan iItu Lubok Antu, Selangau dan Julau. Ia menang kerusi Parlimen Hulu Rajang, Kanowit dan Sri Aman.
SUPP pula dijangka menampilkan tujuh calon termasuk beberapa muka baharu dalam usaha merampas semula kerusi yang ia tewas sebelum ini iaitu kerusi Parlimen Sarikei, Sibu, Lanang, Miri, Bandar Kuching dan Stampin.
Semua enam kerusi bandar itu dimenangi pembangkang pada PRU-14 selain kerusi Parlimen Lubok Antu, Mas Gading, Puncak Borneo, Saratok, Julau dan Selangau.
Pada PRU-14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen (menang 13 kerusi),
SUPP (7) tapi cuma menang satu, PRS (6) menang tiga dan PDP (4) menang dua.