AZREEN KERIA
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM67 juta bagi menaik taraf semula fasa dua Jalan Baru Matang Petra Jaya, di sini.
Untuk itu juga, sebuah syarikat baharu dilantik bagi mengambil alih ‘projek sakit’ itu sebelum ini membabitkan jalan baharu Matang sepanjang 4.4 kilometer.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan kontraktor penyelamat yang dilantik ialah Mirecont Sdn Bhd (Mirecont).
“Projek menaik taraf itu melibatkan pelebaran jalan dari dua lorong sedia ada kepada empat lorong dan mereka juga akan memasang 70 lampu jalan di sepanjang jalan dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan tapak projek di Jalan Matanh, dekat sini, hari ini.
Uggah berkata, pihaknya perlu melakukan mekanisme proaktif dalam reka bentuk pembinaan kerana di sepanjang jalan ini ada paip utama.
“Jadi kita tidak mahu mengambil risiko bagi memastikan semuanya baik sahaja semasa kerja pembinaan sedang berjalan, paip mesti dilindungi ini kerana ia membekalkan air ke semua kawasan di sini.
“Kontraktor terdahulu meninggalkan projek ini ketika pada tahap sembilan peratus siap, yang akan diambil alih oleh kontraktor baharu yang mula bekerja hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, antara isu utama yang timbul dari Jalan Baru Matang sedia ada ialah kesesakan lalu lintas dan ketiadaan lampu jalan yang membahayakan pengguna jalan raya pada waktu malam.
“Memandangkan kontraktor lama bermasalah, saya sering berhubung dengan Datuk Amar Douglas dan maklum balas yang sangat positif serta tindakan pantas beliau menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu projek terbengkalai.
“Saya berharap urusan pemasangan lampu dan pembinaan jalan raya dapat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk sekitar,”katanya.
Projek itu adalah fasa kedua menaik taraf jalan membabitkan Matang Jaya/Jalan Batu Kawa-Matang Simpang.
Fasa pertama melibatkan laluan sepanjanh satu kilometer dengan kos kira-kira RM4 juta, bermula di Bulatan Datuk Temenggong Abang Kipali Abang Akip sehingga ke kawasan E-Mart Supermall.