PANTU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah memperluaskan pelaksanaan Program “Talk To Us” dalam kalangan penduduk di kawasan luar bandar di bawah pentadbiran mereka.
Ia terbukti apabila IPD Sri Aman melalui Balai Polis Lachau (dari Pasar Keranggas Gayau) bertindak mengadakan Program “Talk To Us” bertempat di Pasar Sungai Tenggang dekat sini baru-baru ini.
Tiga anggota Balai Polis Lachau telah membuka kaunter mereka di hadapan Kedai Chop Jong Hin di pasar itu dengan tujuan program ini adalah untuk memberi peluang kepada orang awam untuk menyampaikan aduan atau laporan.
Malah pelaksanaan Program “Talk To Us” berkenaan juga membolehkan penduduk sekitar kawasan Sungai Tenggang memberikan maklum balas mengenai mutu perkhidmatan balai polis dekat sini.
“Selain melaporkan maklumat keselamatan, jenayah dan dadah, program ini katanya juga akan dapat memupuk semangat persefahaman di antara Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan komuniti setempat sebagai Sahabat Pencegahan Jenayah.
“Malah ia juga turut memberi peluang kepada komuniti setempat di bawah kuasa pentadbiran IPD Sri Aman untuk bertemu dengan para anggota yang berkhidmat di situ,” kata jurucakapnya.
Beliau turut memberitahu mendidik komuniti setempat di bawah kuasa tadbir IPD Sri Aman berkenaan adalah merupakan usaha pencegahan jenayah sejajar dengan objektif pelaksanaan ‘Talk to Us’.
“Justeru diharap agar komuniti setempat di Pasar Sungai Tenggang, Pantu lebih bersikap terbuka dalam menyalur pelbagai maklumat berkaitan jenayah di kawasan mereka dalam kadar segera selepas pelaksanaan program ini,”katanya.
IPD Sri Aman melalui program itu juga turut mengingatkan penduduk Sungai Tenggang agar berhati-hati melakukan pembelian atas talian demi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.