Oleh Mohd Neenatul Aizal
KUCHING: Pengundi baharu dan mereka berusia 18 tahun ke atas diyakini menyokong calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November nanti.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pengundi muda dan baharu bijak dalam memilih wakil rakyat mereka dan tidak boleh dipandang remeh.
“Saya tidak begitu pasti dengan negeri lain, tetapi untuk Sarawak, saya tabik kepada belia di sini, dan mereka sentiasa bersama kita,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Petra Jaya hari ini.
Abdul Karim, yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, diminta mengulas sama ada pelaksanaan Undi18 akan menjadi cabaran kepada GPS pada PRU15 kali ini.
Beliau berkata, berdasarkan ‘post mortem’ yang dijalankan sebelum ini Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) tahun lalu, kebanyakan pengundi muda berusia 21 hingga 24 tahun memilih untuk menyokong GPS.
“Jangan beritahu saya bahawa dalam pilihan raya akan datang (PRU15), golongan belia tiba-tiba mengalihkan undi mereka ke pihak lain.
“Tidak, ia tidak akan begitu mendadak, dan saya percaya pengundi muda dan pengundi kali pertama berpendidikan, mereka akan dapat melihat sendiri parti atau calon mana yang harus mereka pilih,” katanya.
Abdul Karim yakin bahawa belia di Sarawak akan sentiasa bersama GPS.