MANCHESTER: Marcus Rashford mengakui gol ke-100nya untuk Manchester United adalah saat yang indah selepas penyerang England itu memastikan kemenangan 1-0 ke atas West Ham.
Rashford antara pemain United yang menunjukkan peningkatan musim ini selepas beberapa tahun tidak menonjol.
Bagaimanapun pemain 24 tahun itu masih belum dijamin tempat dalam skuad kendalian Gareth Southgate ke Piala Dunia Qatar.
Tandukan padunya itu mungkin akan mengubah fikiran Southgate yang turut hadir menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford itu.
“Ia terasa begitu indah. Sudah lama saya memikirkan saat ini. Saya menanti ketibaannya dan akhirnya ia berlaku hari ini.
“Saya rasa saya perlu menjaringkan lebih banyak gol seperti itu dan terus berada dalam kawasan itu. Menjaringkan gol adalah penting, tidak kira sama ada Gareth Southgate menyaksikannya atau tidak,” kara Rashford.
Selepas membolosi gawang Sheriff di Liga Europa Khamis lalu, Rashford berkata Erik ten Hag adalah pengendali yang menyenangkan.
“Tenaga di kelab dan padang latihan sangat berbeza. Keadaan itu menjadikan saya lebih bersemangat sekarang. Tahun lalu saya bergelut dengan keadaan di luar padang dan fikiran saya tidak menentu,” katanya.
Hasil jaringan Rashford, pemain ke-22 menjaringkan 100 gol untuk United dan deretan aksi cemerlang penjaga gol David De Gea, skuad kendalian Ten Hag kini melonjak ke tangga kelima liga.
Belum tewas dalam lapan perlawanan terakhir mereka, United kini hanya satu mata di belakang Newcastle yang menghuni tangga keempat. – AFP