KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan Daftar Pemilih Sarawak yang terkini adalah seramai 1,943,074 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 59.14 peratus untuk Pilihan Raya Umum ke-15(PRU-15) kali ini, berbanding 1,220,960 pemilih yang direkodkan ketika PRU-14 pada 2018.
“Daripada jumlah itu, 825,791 orang adalah pengundi berumur 21 hingga 39 tahun yang menjadi kategori paling ramai manakala jumlah pengundi berumur 18 hingga 20 tahun adalah 129,034 orang.
“Daftar Pemilih Sarawak yang terkini itu merekodkan seramai 975,618 bersamaan 50.21 peratus adalah pengundi lelaki dan 967,456 (49.79 peratus) pengundi wanita.
“Daripada keseluruhan pengundi, 25,799 orang adalah pemilih orang kurang upaya (OKU) iaitu 25,782 OKU pemilih biasa, tujuh OKU tentera dan pasangan serta 10 OKU polis dan pasangan.
“Jumlah pengundi awal pula mencatatkan sedikit pengurangan iaitu 22,127 berbanding 24,545 mengikut rekod daftar pemilih PRU-14.
“Daftar keseluruhan juga menunjukkan majoriti pemilih adalah mereka yang berusia di bawah 60 tahun iaitu seramai 1,539,645 manakala 355,413 pemilih berusia 60 tahun ke atas.
“Seramai 38,148 petugas akan bertugas untuk PRU-15 melibatkan 1,943 pusat mengundi termasuk 55 pusat mengundi awal dengan 4,286 jumlah saluran.
“Sebanyak 1,943 pusat pengundi telah diwartakan membabitkan sekolah, rumah panjang dan beberapa premis lain yang dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 74 pusat pengundi yang terletak di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Wan Junaidi berkata, bagi mengatasi kekurangan di 74 pusat mengundi itu, SPR mendapat kerjasama syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memastikan semua pusat mengundi itu mendapat liputan perhubungan dan komunikasi tidak terjejas.
Sehubungan itu, kerjasama dengan SKMM turut diwujudkan bagi memastikan semua pusat penamaan calon memiliki liputan komunikasi bagi memastikan hari penamaan calon pada 5 November ini berjalan lancar.
Selain itu, SPR juga mendapat kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung rekod percukaian dan status kebankrapan calon-calon yang akan bertanding.
Katanya, SPR mendapat kerjasama pihak Peguam Negara semasa hari penamaan calon untuk memberi nasihat undang-undang kepada Pegawai Pengurus pilihan raya sekiranya berlaku kekeliruan dan masalah berkaitan undang-udang.
Bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya kali ini, SPR Sarawak telah bersedia dengan pelbagai persediaan melibatkan logistik udara, air dan darat.
Dalam perkembangan lain, sekiranya berlaku banjir ketika pilihan raya berlangsung, SPR Sarawak juga sudah merancang pelbagai kaedah bagi melancarkan perjalanan proses demokrasi dengan kerjasama semua agensi keselamatan.
Menurutnya, selepas mendengar taklimat oleh Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan semalam, beliau berpuas hati dengan segala persiapan SPR untuk menghadapi PRU-15 di negeri ini khususnya pada hari penamaan calon 5 November dan hari pengundian pada 19 November nanti.
Beliau juga meminta agar semua calon, pengundi dan pekerja-pekerja parti sentiasa bekerjasama dengan SPR dengan tidak melanggar undang-undang serta peraturan-peraturan pilihan raya.