KUCHING: Suili George 35 tahun dan Mady Spuan 32 tahun, dua peserta yang mencipta kejayaan manis apabila terpilih untuk ke pusingan separuh akhir pada konsert Getaran Jiwa minggu kedua yang bersiaran secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa malam tadi.
Pengurus Saluran TVS, Aizal Ibrahim berkata Suili George meraih kutipan 53.7 markah manakala Mady Spuan pula mendapat 49.8 markah.
“Sementara itu, enam peserta yang tidak berjaya ialah Rina Ramlee (48.7 markah), Shamshul (26.2 markah), TCY Agnes (33.8 markah), Jamilah Pesan (28.5 markah), Irwan (41.0 markah), dan Shazlan (40.5 markah),” katanya.
Dihoskan oleh Sissy Imann dan Jiggy, program terbitan TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak ini bersiaran langsung selama 1 jam 30 minit bermula 8.45 malam.
Di samping itu, pada 7.30 malam, kapsul Debaran Jiwa turut disiarkan menampilkan barisan personaliti TVS, Fattahbolh dan Siti Zawawi.
Persembahan setian peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70 peratus oleh barisan juri profesional dan 30 peratus oleh juri awam yang mengundi di atas talian menggunakan ‘Meter Jiwa’.
Persembahan peserta minggu ini dinilai oleh Dato Nash selaku Ketua Juri serta Norafizah Busman sebagai Juri Tetap dan Ayai llusi selaku juri jemputan.
Secara keseluruhannya, 40 peserta yang terpilih melalui pencarian bakat seluruh negara akan bertanding dalam program ini. Getaran Jiwa menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.
Selain ditayangkan langsung di saluran 122 Astro dan MYTV, orang awam turut berpeluang menonton konsert mingguan Getaran Jiwa di Stadium MBKS. Ikuti laman media sosial Getaran Jiwa (https://linktr.ee/getaranjiwa) untuk maklumat lanjut.