KABONG: Seorang rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Nyabor, Kabong, semalam.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, PgB Ramlan Marajan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah menerima panggilan mengenai kejadian terbabit sekitar 11.01 malam.
“Seramai 10 anggota dari BBP Saratok telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran pada sebuah kenderaan yang dilaporkan.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Kia telah terbakar 100 peratus,” katanya.
Ramlan berkata, pasukan bomba telah menggunakan aliran salur bantu mula serta foam bagi memadam kebakaran tersebut.
“Terdapat seorang mangsa rentung di dalam kereta, namun jantina dan identiti mangsa masih belum dapat dipastikan,” ujarnya.
Jelasnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 11.50 malam.
“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.