FAIZAL BUJANG
PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) belum dapat memberi sebarang komen berhubung status Liga Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Premier Malaysia.
Sama ada akan diterus atau ditamatkan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir 9 Jun depan.
Sebaliknya, akan menunggu pengumuman atau perkeliling daripada badan induk tertinggi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presiden FAS, Dato Posa Majais memberitahu, setakat ini belum ada sebarang maklumat disampaikan kepada pihaknya berhubung perkara itu.
“Kita tunggu pengumuman yang akan dibuat oleh pihak FAM berhubung perkara itu.
“Dan mungkin selepas itu ada tindakan susulan daripada pihak kami (FAS),” ujar Dato Posa ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.
Menurut Dato Posa, besar harapan pihaknya akan ada keputusan positif yang akan diumumkan kelak.
Pun begitu tambah beliau, pihak FAS juga sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan andaikata keputusan luar jangkaan diumumkan pihak FAM membabitkan status kesemua liga berkenaan.
“Kami juga sudah bersedia menghadapi kemungkinan jika kesemua tiga liga ini ditamatkan lebih awal,” jelas beliau lagi.