KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu menjalani tapisan termasuk dengan jabatan agama sebelum dibenarkan bertanding, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, saringan dengan jabatan agama yang julung kali diadakan itu bagi memastikan pemilihan calon BN lebih teliti dan mereka tidak terlibat dengan pelbagai isu syariah termasuk pemberian nafkah.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pemilihan calon masih dalam proses dan pembentangan “pusingan pertama” telah dibuat oleh pengerusi perhubungan negeri sebelum dibuat kali kedua dalam perjumpaan sekali lagi.
“Kita juga akan ada saringan. Kena buat pemeriksaan antara nama-nama yang dicadangkan itu.
“Kita akan menyemak dengan polis, SPRM (Suruhanyaja Pencegahan Rasuah Malaysia), Jabatan Insolvensi, mungkin kali ini dengan pejabat agama, pejabat kadi pun kita kena semak juga kot ada yang kahwin kat Siam ke.
“Ada yang nafkah anak tak bayar ke, ada penghakiman di Mahkamah Syariah ke, kalau dulu kita tak pernah periksa, kali ini kita lebih terperinci,” kata beliau kepada media selepas menghadiri taklimat khas sempena PRU-15 dan Monsun Timur Laut 2022 di Bukit Aman di sini, hari ini.
Ditanya mengenai cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya calon Perdana Menteri berdebat secara terbuka sempena PRU-15, Ismail Sabri berkata, ia bukan budaya di negara ini.
“Bukan budaya kita berdebat, tak pernah buat sebelum ini dan ia tak mendatangkan apa-apa hasil. Kalau bagi berdebat, dia akan sebut janji manifesto dia, bulan dan bintang pun dia akan sebut.
“Jadi tak perlu debat sebab selama ini pun kita tak berdebat sebelum pilihan raya umum dan kita bentuk kerajaan berdasarkan kepercayaan rakyat dan kita juga sibuk di kawasan masing-masing untuk berkempen,” kata beliau.
Anwar sebelum ini dilaporkan mencadangkan tiga calon Perdana Menteri daripada PH, Perikatan Nasional (PN) dan BN mengadakan debat terbuka sempena PRU-15 dan perbahasan tersebut perlu menumpukan kepada soal dasar serta perancangan dan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.
Mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menjadi komponen BN, Ismail Sabri berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU-15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. – Bernama