CONNIE CHIENG
KUCHING: Rakyat Sarawak perlu kekal bersatu untuk terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mengabaikan politik berkecamuk di Semenanjung Malaysia.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Tan Kai berkata, ini bagi membolehkan suara rakyat Sarawak terus lantang di Parlimen.
“GPS perlu kekal bersatu kerana kami komited untuk membina kerajaan yang stabil, untuk terus mencari masa depan dan pembangunan lebih baik untuk Sarawak.
“Keadaan politik di negara ini berbeza dengan masa lalu. Ini adalah kali pertama parti pemerintah mahu membubarkan Parlimen secepat mungkin untuk mengadakan pilihan raya umum, tetapi parti pembangkang mempunyai agenda berbeza,” katanya.
Beliau berkata, UMNO sebagai parti pemerintah tidak dapat mengawal sepenuhnya pasukan Kabinet Persekutuan, menyebabkan mereka tergesa-gesa mengadakan pilihan raya umum bagi mencari pasukan baharu.
Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mengingatkan bahawa walau apapun berlaku, rakyat Sarawak mesti kekal bersatu di bawah Kerajaan GPS.
“Beliau selalu berkata, selagi Sarawak boleh membentuk suara yang kuat di Parlimen, jika mereka pernah mengeluarkan dasar agama yang melampau atau menyeleweng, Sarawak pasti akan menentangnya,” kata Tan Kai.