Sarawak mahu TPM ada kuasa, bukan ‘TPM istiadat’

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN DEEPAVALI… Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah), Dato Sri Dr Sim Kui Hian (kiri), Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kanan) merakamkan gambar bersama Shankar R.P Asnani dan keluarga pada Majlis Sambutan Deepavali bertempat di The Kings Curry Jalan Rumbia Kuching di sini, sebentar tadi. Foto HARRIEY NAHA

AZREEN KERIA

KUCHING: Tawaran untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi Sarawak diharap bukan sekadar protokol tanpa kuasa yang sewajarnya.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu adalah baik tetapi apa yang dimahukan ialah kuasa yang ada pada pemegang jawatan itu.

“Apa yang kami harapkan jawatan (TPM) ini mempunyai kuasa bukan hanya sekadar protokol TPM.

“Bukan ini yang kita mahu. Kita mahu ada kuasa dan tidak suka sekadar protokol. Sekiranya tiada kuasa, tidaklah penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Shankar’s Diwali Lunch di Kings Curry House di sini, sebentar tadi.

Ditanya sama ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) memasukkan janji jawatan TPM dalam manifestonya nanti, Abang Johari berkata ia tidak perlu.

Pengerusi GPS itu berkata, perkara itu adalah dalam manifesto Barisan Nasional (BN).

“Jawatan TPM ini manifesto mereka (BN), manifesto kita (GPS) hanya fokus kepada Sarawak First (Utamakan Sarawak),” katanya.

Di Papar, Sabah semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melantikan tiga TPM masing-masing dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika BN muncul dominan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-15 nanti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pula membuat tawaran sama, jika PH berjaya membentuk semula Kerajaan Persekutuan.