SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Sarawak meminta syarikat penerbangan di negara ini menawarkan harga tambang murah sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi memudahkan pengundi balik mengundi.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fadillah Yusof berkata, setakat ini memang ada syarikat penerbangan dalam negara memperkenalkan tawaran tambang murah atau promosi sempena pilihan raya umum.
“Malah saya juga ambik maklum bahawa beberapa syarikat penerbangan seperti pihak Malaysia Airlines (Berhad), ada memberikan potongan harga untuk penumpang yang balik bagi tujuan mengundi.
“Tawaran seperti ini saya sambut baik dan kita mengharapkan semua syarikat penerbangan kalau dapat berilah kemudahan dengan tambang yang lebih murah supaya rakyat dapat turun mengundi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan PRU-15 bagi kawasan Parlimen P.194 Petra Jaya di sini, hari ini.
Sementara itu, Fadilah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya menggalakkan pihak persendirian atau badan bukan kerajaan (NGO) sama-sama memainkan peranan untuk menaja rakyat yang kurang berkemampuan balik mengundi terutama kepada golongan pelajar.
“Kita kena sedia maklum kerajaan tidak boleh menyediakan peruntukan untuk balik mengundi sebab nanti akan menjadi satu isu. Dari segi perundangan adakah pihak kita boleh menyediakan peruntukan yang mungkin bermasalah untuk dilaksanakan.
“Kalau ada pihak individu mahu menaja dan sebagainya terserahlah seperti yang saya lihat di media sosial ada pihak gereja mahu menaja tiket kapal terbang, selain beberapa pihak yang mahu membantu anak-anak pelajar kita balik mengundi dan sebagainya,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin baru-baru ini, sudah mengajukan surat permohonan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk meningkatkan frekuensi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak sepanjang tempoh PRU-15.
Kim Shin turut meminta agar syarikat penerbangan menyediakan penerbangan tambahan atau menggunakan kapal terbang yang lebih besar seperti Airbus A350 yang boleh memuatkan sehingga 300 ke 400 penumpang dalam satu masa.