MOSCOW: Sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh selepas sebuah pesawat tentera Rusia terhempas ke kawasan perumahan Yeysk, sebuah bandar di barat daya Rusia berhampiran sempadan Ukraine, kata pihak berkuasa Moscow pada Selasa ketika operasi mencari berakhir.
Kementerian situasi kecemasan berkata dalam satu kenyataan bahawa penyelamat telah menyelesaikan pencarian runtuhan, dan menemui 10 lagi mayat, selepas mengumumkan tiga kematian sebelum ini.
“Secara keseluruhan, 13 orang maut, termasuk tiga kanak-kanak, manakala 19 orang cedera,” menurut kementerian itu, seperti dipetik oleh agensi berita Rusia.
Sukhoi Su-34 terhempas pada petang Isnin, menyebabkan kebakaran besar yang melanda sebuah bangunan sembilan tingkat yang didiami oleh 600 penghuni.
Presiden Rusia Vladimir Putin dimaklumkan mengenai kebakaran itu dan mengarahkan “semua bantuan yang diperlukan diberikan kepada mangsa akibat insiden pesawat tentera,” kata Kremlin kepada agensi berita TASS yang dikendalikan kerajaan.
“Di tapak nahas Sukhoi Su-34, di halaman kawasan perumahan, bahan api pesawat itu terbakar,” kata kementerian pertahanan. Imej di media sosial menunjukkan sebuah blok kediaman era Soviet yang dilalap api.
Kebakaran merebak di lima tingkat bangunan itu, meliputi 2,000 meter persegi (21,500 kaki persegi), kata kementerian situasi kecemasan.
Kementerian pertahanan berkata juruterbang pesawat itu dapat melepaskan diri.
Pesawat itu terhempas selepas berlepas untuk menjalankan penerbangan latihan dari lapangan terbang tentera Daerah Tentera Selatan, katanya.
Ia menambah bahawa jet tentera itu telah rosak selepas “salah satu enjinnya terbakar semasa berlepas.” – AFP