KUCHING: Tiga perkara utama dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum selesai, akan terus diperjuangkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS berkata bagi meneruskan usaha itu, rakyat di negeri ini perlu terus memberi mandat kepada GPS.
“Mandat (penuh) daripada rakyat ini akan kita gunakan untuk meneruskan perjuangan ini (tuntutan MA63).
“Ada tiga perkara penting yang belum kita putuskan selain membabitkan diri kita dalam dasar nasional seperti mempertahankan hak rakyat Sarawak dalam MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kepemimpinan Tertinggi GPS di sini, petang ini. Terdahulu, beliau turut mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB.
Abang Johari menggariskan tiga perkara yang dituntut dalam MA63 tetapi belum selesai, seperti berikut:
- Agihan geran khas yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan mengikut Perkara 112D, Perlembagaan Persekutuan;
- Mahkamah Tinggi Borneo
- Jabatan Teknikal
Abang Johari berkata, isu berkaitan geran khas akan terus dibuat selagi formula agihan peruntukan berkenaan, seperti yang dituntut oleh Kerajaan Sarawak tidak dipenuhi.
“Perkara kedua ialah mengenai Mahkamah Tinggi Borneo. Mengikut Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaa (IGC), dulu ada dua mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo.
“Namun sekarang, tidak ada lagi Mahkamah Tinggi Borneo. Kalau ikut perundangan, peguam di Semenanjung Malaysia tidak boleh menjalankan tugas guaman di Sabah atau Sarawak.
“Perkara ketiga ialah Jabatan Teknikal harus diiktiraf sebagai jabatan yang akan melaksanakan Projek Persekutuan di Sarawak dalam perundangan kita dan ketiganya jabatan teknikal yang harus diiktiraf sebagai jabatan melaksanakan projek Persekutuan di Sarawak,” katanya.