KUCHING: Sasaran Sarawak untuk mencecah angka 1.2 juta ketibaan pelancong tahun ini, berjaya dicapai dua bulan lebih awal.
Berita baik itu diumumkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Hamzah yang menyatakan angka 1.2 juta ketibaan pelancong itu berupaya dicatat pada akhir bulan ini.
“Setakat Januari sehingga September 2022, kita telah menerima jumlah pelancong sebanyak 1.141 juta
“Hanya berbaki 600,000 lagi untuk mencapai sasaran 1.2 juta pelancong dan saya menjangka pada akhir Oktober ini kita akan mencapai sasaran,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan Business Events Tribal Meet di sini, semalam.
Sebelum ini, Sarawak menyasarkan ketibaan 1.2 juta pelancong menjelang akhir tahun ini.
Abdul Karim berkata, sasaran itu dicapai lebih awal menerusi pelbagai program yang telah berlangsung dan akan diadakan di Sarawak yang bakal menarik ramai pelancong dalam dan luar negara.
“Kedatangan pelancong asing dari Januari hingga Septermber tahun ini adalah 313,100.
“Selain itu, perolehan hasil sektor pelancongan negeri ini dari Januari hingga September tahun ini adalah sebanyak RM2.72 bilion berbeza dengan tempoh yang sama tahun lalu kita hanya meraih RM213.98 juta.”
Mengulas mengenai sektor perhotelan, katanya peningkatan kadar tempahan hotel semakin meningkat.
“Hampir setiap minggu tempahan hotel penuh tambahan pula dengan pelbagai acara dianjurkan setiap minggu pasti akan membawa lebih ramai pengunjung ke sini,”katanya
Untuk rekod, selain mensasarkan 1.2 juta pelancong, Sarawak juga berharap dapat menjana sebanyak 3.2 bilion hasil pelancongan.