KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) komited dalam menjayakan program kebersihan iaitu Gotong-royong dan Kempen Beli Balik di RH Park Batu 9 dengan penyertaan pelbagai peringkat umur. Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Stakan, Dato Sim Kiang Chiok berkata, MPKS telah pun merangka beberapa program yang menfokuskan kawasan komersial dalam Samarahan untuk bersama-sama membawa para peniaga atau rumah kedai tentang kepentingan penjagaan kebersihan persekitaran masing-masing.
“Program ini sekali gus dapat membantu membersihkan kawasan di sekitar komersial. Malah ia juga dapat memusnahkan tempat yang menjadi pembiakan nyamuk aedes dalam kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program Gotong Royong dan Kempen Beli Balik dan Pemvaksinan dan Perlesenan Anjing di RH Park Commercial Centre, semalam.
Katanya, pihak MPKS telah menyediakan satu ruangan untuk aktiviti pengumpulan bahan kitar semula untuk komuniti setempat termasuk kawasan komersial RH Park. “Ruangan ini disediakan adalah bagi memudahkan penduduk setempat menghantar barangan kitar semula masing-masing. “Selain itu, ia dapat membantu penduduk disekitar mengurangkan jumlah sampah atau bahan buangan dalam kawasan masing-masing, ia dapat ditukarkan dengan hasil pulangan,” katanya.
Dalam pada itu juga, program MPKS turut menyediakan kaunter vaksin untuk haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing bagi mencegah penyakit jangkitan rabies. Jelasnya, pihak majlis amat memandang serius berkenaan dengan penularan jangkitan penyakit yang merbahaya tersebut atas faktor perikemanusiaan dan dalam memastikan kebersihan persekitaran di sini sentiasa terpelihara.