SIBU: Kerajaan Sarawak perlu membina lebih 2,000 rumah mampu milik (RMM) sebelum mereka boleh menempatkan semula mereka yang terjejas akibat Rancangan Pembaharuan Bandar Sibu yang turut meliputi Pelan Induk Sistem Saliran Bandar Sibu.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, pelaksanaan pelan itu dikatakan sebagai pelan pembaharuan bandar terbesar di Sarawak setakat ini agak rumit kerana ia melibatkan kawasan luas kira-kira 500 ekar.
“Kita bertuah kerana kerajaan Belanda telah menawarkan kita bantuan dalam pengurusan banjir. Pada peringkat awal perancangan kita, keluasan yang terlibat di bawah rancangan itu ialah 500 ekar melibatkan lebih 2,000 rumah.
“Kita perlu membina rumah mampu milik terlebih dahulu bagi mereka yang terjejas jika tidak mereka tiada tempat tinggal,” jelasnya pada Majlis Penyerahan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) dan Program Rumah Spektra Mutiara (RSM) di sini semalam.
Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak telah menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat bernama ‘Rainbow’ yang pakar dalam pengurusan banjir bagi membantu pelaksanaan pelan induk itu.
“Apa yang merumitkan (pengurusan banjir) ini adalah kerana Sibu terletak di pertemuan Sungai Rajang dan Sungai Igan.
“Sekiranya paras air sungai semakin tinggi daripada tanah, ia akan melimpah dan membanjiri tanah melainkan kita mahu meninggikan tanah yang tidak boleh kita lakukan kerana terdapat banyak rumah di situ.
“Jadi kita perlukan kerjasama semua orang untuk memahami kerana kita mahu melakukan sesuatu dengan penyelesaian kekal kerana ia akan melibatkan minimum 50 ekar tasik daripada 500 ekar kawasan yang dikenal pasti untuk pelaksanaan pelan induk mengalirkan air,” ujarnya.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menegaskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat komited dengan perkara itu.
Katanya, Premier Sarawak telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk pelaksanaan projek di bawah pelan induk itu.
“Sesiapa yang rasa mereka boleh selesaikan masalah banjir dengan segera izinkan saya bertanyakan perkara ini kepada mereka.
“Ketika mereka berkuasa, semasa mereka menjadi menteri, mengapa mereka tidak melakukannya jika ia begitu mudah?,” katanya.
Berucap sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Mortgage & Credit Shaharony Mat Nor berkata pihaknya telah meluluskan sejumlah 350 permohonan HDAS membabitkan RM3 juta.
“71 peratus daripada permohonan adalah daripada kumpulan B40,” katanya.
Menurutnya, di bawah skim itu kerajaan akan menyalurkan bantuan deposit sebanyak 10 peratus atau maksimum RM10,000 untuk deposit pembelian rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama.
Turut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng.
Oleh AKUN GIMAN