TOKYO: Sarawak sudah bersedia untuk menjadi pengeluar dan pembekal hidrogen hijau utama di rantau ini menjelang 2028.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak telah meletakkan dasar yang sejajar dengan protokol perubahan iklim dunia yang direka ke arah penyahkarbonan.
“Sudah tiba masanya untuk Sarawak bersama-sama dengan seluruh dunia bertindak ke arah peralihan tenaga bagi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti yang ditetapkan oleh protokol Paris.
“Ia sebagai langkah dan tindakan berkaitan diambil untuk merealisasikan visi Sarawak menjadi hab hidrogen di rantau berkenaan,”katanya.
Beliau berkata demikian sebagai ahli panel ketika menjawab soalan moderator pada Forum Hidrogen Tokyo yang dianjurkan oleh Kerajaan Metropolitan Tokyo di sini semalam.
Menurut Abang Johari, perbincangan telah diadakan bersama dengan pemain industri besar dari Jepun dan Korea yang komited berkolaborasi dengan Sarawak berkaitan pengeluaran hidrogen untuk menjana kuasa industri bagi negara itu.
“Melalui SEDC Energy Sarawak, kita sedang berunding dengan Sumitomo Corporation dan Eneos Corporation of Japan di bawah Projek Hornbill di mana hidrogen hijau melalui methylcyclohexane (MCH) disasarkan untuk berada di aliran menjelang 2028.
“Sarawak juga sedang berunding dengan Samsung, Posco dan Lotte of Korea di bawah Projek Bunga Raya untuk pembelian semula dalam bentuk ammonia,” katanya.
Mengenai pengalaman Sarawak berkaitan hidrogen pula, beliau berkata inisiatif itu bermula dengan kemudahan pengeluaran hidrogen perintis pada 2016 di bawah Sarawak Energy Berhad (SEB) yang membekalkan gas untuk bas hidrogen dan kereta di Kuching
Forum Hidrogen Tokyo itu juga dikendalikan secara hibrid dan turut disertai wakil serta barisan ahli panel dari pelbagai negara lain.
Terdahulu, Premier Sarawak serta delegasi melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Tokyo, Yuriko Koike di pejabatnya di sini.