FAIZAL BUJANG
PENOLONG jurulatih skuad Sarawak United FC, Safri Amit kini dibuai rasa gundah tatkala menanti ketibaan lebaran.
Ia berikutan beliau bersama isteri dan anak yang masih lagi berada kediaman keluarga mertua di Kampung Semabok, Melaka ekoran terperangkap selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan.
Justeru, sukar untuk meramal bila tarikh untuk mereka sekeluarga dapat pulang sekali gus menyambut Hari Raya Aidilfitri dikediamannya sendiri di Kuching.
Meskipun, dirinya ketika ini sibuk mengurus tiket penerbangan balik ke Kuching.
“Kami sekeluarga masih lagi berada di rumah mertua, dan ketika ini dalam proses menguruskan tiket penerbangan balik ke Kuching.
“Tiket memang ada tetapi jadual penerbangan terhad juga dilihat menimbulkan sedikit masalah kepada kebanyakan penumpang termasuk kami,” ujar Safri ketika mengulas mengenai perkara itu.
Apapun Safri berharap beliau sekeluarga akan dapat kembali ke rumah sebelum Syawal menjelang tiba.
Menurut Safri, isteri dan anaknya (Mawar Suhaila Ab Razak dan Aisy Danish Iman) pergi lebih awal ke rumah mertuanya dan disusuli beliau pada 24 April lalu sebelum terkandas sehingga ke hari ini.