SIDANG MEDIA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sibu Digital Innovation Hub (SDIH) dan SDeCloud di Sibu, semalam.
SIBU: ‘Gangguan ekonomi’ adalah trend yang akan menentukan hala tuju ekonomi pada masa depan yang berteraskan kepada data besar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selepas itu ialah disebut sebagai data sains yang menganalisakan data dan seterusnya mewujudkan produk yang baharu.
“Sebab itu disebut sebagai ‘disruptive’, dalam satu proses, maka dalam proses tersebut akan timbul satu lagi idea yang baharu.
“Di Sarawak, saya telah lancarkan pendekatan ini pada 2017 yang mana kita ada ‘roadmap’ untuk kita transform (transformasi) ekonomi kepada ekonomi digital yang berdasarkan data dan sumber.
“Dalam tempoh 2017 hingga 2022, kita mahu transform hala tuju ekonomi berdasarkan data kita. Dalam menuju hala tuju ini membawa kepada penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang memantau pembangunan infrastruktur digital dan ekonomi serta Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC),” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sibu Digital Innovation Hub (SDIH) dan SDeCloud di sini, semalam.
Katanya, kerajaan memerlukan syarikat pemula (startup) yang diwujudkan serta mempunyai kepakaran untuk menukarkan segala pendekatan dan menggunakan data ini sebagai satu daripada sumber untuk mewujudkan industri baharu.
“Inilah yang hendak kita laksanakan, tahniah kepada orang Sibu kerana sudah ada ‘disruptive innovation center’. Terpulang kepada mereka untuk menghasilkan apa juga aplikasi dan produk daripada data yang ada,” ujarnya sambil merujuk kepada Caliphs Digital Group (CDG).
SDEC bekerjasama dengan CDG dalam mewujudkan satu kawasan atau tempat yang mana peniaga boleh mempelajari selok-belok mengenai penggunan digital dalam perniagaan mereka.
CDG adalah syarikat anak jati Sibu dan merupakan syarikat pengendali yang dilantik dan dipertanggungjawab oleh SDEC untuk mengendali operasi hab digital di Sibu.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuala Lumpur semalam tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sahaja
Premier Sarawak menyifatkan perjumpaan tersebut hanyalah pertemuan biasa dan tiada kaitan dengan PRU15.
“Tidak ada apa-apa, perjumpaan saya macam biasa kerana selalunya jika ada persidangan Parlimen, saya akan berjumpa dengan ahli Parlimen kita.
“Dan disana kita bincanglah kalau ada draf undang-undang yang di perkenalkan di Parlimen, kita mempunyai persepktif yang sebenar mengenai undang-undang tersebut, ia hanya perjumpaan biasa,” ujarnya.
SDIH yang terletak di Jalan Kuda, Kampung Nangka melaksanakan 80 program latihan, bengkel, kursus, seminar dan sebagainya serta dihadiri oleh 3,822 peserta dari pelbagai latar belakang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr. Annuar Rapa’ee, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Sudarnoto Osman, Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak dan Residen Bahagian Sibu, Wong Hie Seng.
Oleh AKUN GIMAN