KENANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan tetamu kehormat bergambar bersama guru dan pelajar pada majlis makan malam kesyukuran Jubli Mutiara SMK Agama Tun Ahmad Zaidi di Dewan Imtiyaz, TUNAZ, Kuching kelmarin.
KUCHING: Fakulti Undang-Undang dengan memperkenalkan pengkhususan pengajian berkaitan perundangan perlembagaan dan tanah akan diwujudkan di Universiti Swinburne Kampus Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Senat Akademik Swinburne University di Australia bersetuju dengan cadangan Kerajaan Sarawak itu supaya fakulti ini diwujudkan.
Berikutan itu katanya, fakulti perundangan berkenaan akan menawarkan jurusan pengajian berkaitan undang-undang Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya difahamkan universiti di Semenanjung Malaysia tidak menawarkan subjek (pengkhususan) yang mengajar berkaitan undang-undang tanah NCR Land.
“Kita tidak tahu kewujudan undang-undang itu, jadi kita mahu pengajian akademik mengenai tanah NCR dan yang berkaitan dengan (perlembagaan) MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam kesyukuran SMK Agama Tun Ahmad Zaidi di sini malam kelmarin.
Abang Johari menjelaskan, adalah menjadi keperluan untuk memahami perlembagaan dan undang-undang yang ada kepentingan di Sarawak bagi memastikan hak rakyat Sarawak terjaga.
“Dengan itu pelajar jurusan undang-undang kemudiannya akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian antarabangsa di Melbourne, Australia dan menjadi peguam di Malaysia,” katanya.
Dalam ucapan itu juga, beliau berkata bahawa peningkatan pendapatan Sarawak terus meningkat melalui cara baharu mengurus ekonominya.
“Sebelum ini (hasil Sarawak) kira-kira RM5 bilion hingga RM6 bilion. Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pendapatan kita bertambah kepada sekitar RM10 bilion setiap tahun.
“Justeru, marilah kita berdoa agar (pendapatan Sarawak) RM10 bilion meningkat kepada RM15 bilion tidak lama lagi.
“Saya yakin pada tahun akan datang pendapatan kita akan bertambah dengan cara baharu kita menguruskan ekonomi termasuk cara baharu bagaimana kita mendapatkan hasilnya nanti,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA