TERIMA KASIH… Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima cenderamata daripada Datuk Francis Harden Hollis pada majlis penutupan Pesta Benak Sri Aman 2022 di Simanggang semalam.
SIMANGGANG: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah merasmikan Majlis Penutupan Pesta Benak Sri Aman 2022 bertempat di Astaka Regata, Taman Tebingan Sungai Batang Lupar dekat sini semalam.
Beliau tiba pada 12.12 tengah hari dan diiringi oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis.
Taib dilihat sempat berjabat tangan dengan pengunjung dengan kehadirannya di situ telah diserikan dengan persembahan paluan gendang Melayu dan persembahan Tarian Singa sebelum beliau diiringi ke Astaka Regata.
Dari astaka itu beliau bersama hadirin telah disajikan dengan saingan akhir acara Sakai 10 Lelaki bagi Pertandingan Regata bersempena dengan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2022 sebelum Abdul Karim menyampaikan amanatnya pada majlis itu.
Selepas itu, Tun Taib telah menerima cenderamata daripada Harden sebelum majlis mengumum keberangkatan beliau dan rombongan ke Pameran Pembangunan di belakang astaka tersebut pada 1.00 petang.
Di situ beliau bersama rombongan telah bertindak mengunjungi beberapa booth pameran dan meninjau beberapa kaunter agensi kerajaan sambil sebelum mengakhiri lawatannya pada 1.20 petang.
Turut hadir Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Norazah Awang Sohor, Residen Sri Aman, Sirai Daha dan Timbalannnya, Elvis Didit.
Terdahulu sambutan Pesta Benak Sri Aman 2022 ini telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekitar 10.30 pada Sabtu lepas.
Oleh VALENTINE NGUMBANG