PESARA Tentera Darat Malaysia (TDM) Abd Razak Ahmad, 55, menunjukkan pingat yang diterimanya sewaktu bertugas sebagai anggota tentera, (dari kiri) Perkhidmatan Setia, Kerana Perkhidmatan Am, Perkhidmatan di Bawah PBB dan In The Service of Peace (UN) ketika ditemui Bernama baru-baru ini. • Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sememangnya rakyat Malaysia mempunyai cara dan pandangan masing-masing dalam menterjemahkan semangat patriotik, kemerdekaan dan perasaan cinta mereka kepada tanah air.
Bagi pesara Tentera Darat Malaysia (TDM) Abd Razak Ahmad, 55, dan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Rosdihan Ngathiran, 45, memelihara kebersihan alam sekitar untuk memastikan rakyat terus sihat dan negara makmur juga adalah tanda rakyat Malaysia sayang dan cinta kepada negara.
“Merdekakan minda, lebih cakna akan kebersihan, baru kemerdekaan kita yang ke-65 tahun ini bermakna,” kata Abd Razak yang kini berkhidmat dengan syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd kepada Bernama.
Abd Razak yang pernah mengikuti Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bosnia-Herzegovina pada 1994 hingga 1995 berkata masyarakat perlu memerdekakan minda daripada sikap kurang peka dan prihatin terhadap kebersihan alam sekitar kepada lebih cakna.
“Negara menyambut Hari Kebangsaan Ke-65 namun masih ada segelintir individu membuang sampah merata-rata. Sikap sebegini perlu diubah, jika kita sayangkan negara tercinta ini, kita perlu memastikan segalanya dalam keadaan bersih,” katanya yang memiliki dua anak.
Abd Razak yang berkhidmat sebagai pekerja rendah am dengan melakukan pembersihan longkang di syarikat SWM Environment Cawangan Simpang Renggam, Johor bermula pada 2010 berkata amalan dan disiplin menjaga kebersihan sememangnya sebati dengan dirinya sejak dahulu lagi.
Kelebihan dirinya dalam penyeliaan kenderaan berat sepanjang 22 tahun berkhidmat dengan TDM turut melayakkan dirinya dilantik sebagai pemandu lori kompaktor dalam bidang 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar di syarikat konsesi itu, dua tahun kemudiannya.
“Saya gembira dan sangat berminat dengan apa yang saya lakukan sekarang, saya tolak tepi pandangan orang mengatakan kerja pembersihan kotor dan jijik.
“Paling penting matlamat saya sama, dahulu berkhidmat sebagai anggota tentera untuk negara, kini untuk masyarakat dengan membantu mengurangkan kekotoran dan menjaga kelestarian alam sekitar,” kata bekas Sarjan itu yang memiliki lesen E (Kejur) yang mampu mengendalikan kenderaan berat tanpa muatan melebihi 7,500 kilogram dan lesen kenderaan barangan (GDL).
Rosdihan pula memilih menceburi bidang pembersihan sejak 1 Mac tahun lepas kerana bidang itu sangat penting demi kesejahteraan komuniti.
Anak jati Kluang, Johor itu berkata pengalaman berkhidmat sebagai Pegawai Waran II TLDM banyak membantunya melaksanakan tugas sebagai penyelia operasi di SWM Environment Cawangan Simpang Renggam termasuk memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dapat dilaksanakan dengan tertib dan lancar.
“Ketika menjadi anggota TLDM, saya perlu berhadapan dengan musuh yang boleh menggugat kedaulatan negara tetapi kini saya perlu berhadapan dengan sikap masyarakat dalam menguruskan sisa buangan mereka.
“Sempena Bulan Kebangsaan ini, saya harap masyarakat dapat berganding bahu memelihara kebersihan dan alam sekitar bagi menuju sebuah negara maju,” katanya yang berkhidmat dengan TLDM dari 1996 hingga 2017.
Seorang lagi pesara tentera, Halim Munap, 50, yang berkhidmat dengan SWM Environment Negeri Sembilan pula menyifatkan tugas sebagai pemandu lori roro bagi kerja pembersihan mengajar dirinya lebih bertanggungjawab.
“Selagi hayat dikandung badan, selagi saya masih dikurniakan kesihatan yang baik dan bertenaga, selagi itulah saya tidak akan berhenti berbakti kepada negara.
“Walaupun telah bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tidak bermakna kudrat saya tidak diperlukan lagi. Kini, saya adalah perwira kebersihan dan tugas saya perlu memastikan penduduk menikmati suasana bersih dan selesa,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, selain ketiga-tiga pesara tentera berkenaan, S. Shankar, 53, yang berkhidmat selama 20 tahun sebagai petugas kebersihan di syarikat itu turut meminta orang ramai sentiasa menjaga kebersihan.
“Kami melaksanakan tugas mengikut jadual dan memerlukan orang ramai untuk bekerjasama agar tidak membuang sampah ke dalam longkang sehingga mengakibatkan longkang tersumbat,” katanya yang melakukan kerja pembersihan di sekitar Beting hingga Padang Lebar, Kuala Pilah.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata kerjasama masyarakat dalam penjagaan kebersihan amat penting kerana kemajuan sesebuah negara dinilai menerusi ketamadunan dan keprihatinan rakyatnya terhadap kebersihan.
Beliau berkata syarikat konsesi itu juga sentiasa bersedia menjadi platform bagi veteran ATM untuk terus berkhidmat kepada negara dan masyarakat menerusi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Katanya, SWM Environment turut bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk memberikan latihan kemahiran kepada anggota barisan hadapan melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. – Bernama