ALBUM… Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan Datuk Hasbi Habibollah dan Lukanisman
Awang Sauni rakam album bersama peserta di Jati Diri Farmstay di Bekenu, semalam. • Foto UGIR LIU
SIBUTI : Program Mansang Anak Sarawak anjuran Sukarelawan Sarawak berjaya mengumpul seramai 30 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Sarawak di seluruh negara.
Program tiga hari yang diadakan di Jati Diri Farmstay di Bekenu sejak semalam bertujuan mendedahkan peserta mengenai dasar terkini negara, selain memupuk bakat mereka dan meningkatkan jaringan antara satu sama lain.
Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar persekutuan Datuk Hasbi Habibollah merangkap Ahli Parlimen Limbang dan Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni.
Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman, dalam ucapan perasmiannya semasa sesi bersama para peserta memuji acara itu kerana beliau percaya ia membantu untuk membentuk pemimpin masa depan Sarawak.
“Pemimpin semasa memainkan peranan penting untuk membantu membangunkan bakat generasi muda kita dalam kepimpinan untuk merapatkan jurang dan bersedia untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, tambahnya, Sukarelawan Sarawak merupakan platform sukarelawan belia yang telah dibentuk pada 2018.
“Antara inisiatif lain yang dijalankan oleh Sukarelawan Sarawak dengan sokongan kerajaan Sarawak ialah Graduan Pulang Sarawak (i-GPS),
“Inisiatif Kebajikan Anak Sarawak (1-KAS) dan Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS),” jelasnya.
Tahun ini, LBAS dijadualkan diadakan pada 15 Oktober di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur.
Oleh UGIR LIU