KAWAL… Pemain PJ City FC Darren Yee Deng Lok (kiri) diasak pemain Sarawak United FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri di Kuching, malam kelmarin. Sarawak United FC dan PJ City FC hanya sekadar seri tanpa jaringan pada aksi itu. • Foto BERNAMA
SARAWAK United FC (SUFC) gagal mengunakan peluang beraksi dilaman sendiri untuk mencipta tiga mata penuh apabila hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang PJ City FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam kelmarin.
Biarpun anak-anak buah S. Balachandran berupaya mengubah kedudukan mengambil kira beberapa peluang keemasan dimiliki sepanjang perlawanan namun gagal menjelmakan sebarang jaringan.
Ia menerusi percubaan dilakukan Uche Agba, Lee Chang Hoon, S. Chanthuru, tetapi gagal menembusi gawang pelawat yang dikawal kemas oleh Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowe.
Ini berikutan aksi diluar kemampuan sebenar yang diperagakan pemain Sarawak United adalah disebabkan masih diselubungi keletihan.
Babak pertama amat jelas memperlihatkan aksi sekadar berlegar di tengah padang walaupun sesekali pemain kedua-dua pasukan cuba menggandakan asakan.
Menurut Bala, kesemua pemain telah memberikan aksi yang terbaik sepanjang perlawanan namun tuah tidak menyebelahi anak didiknya walapun memiliki beberapa peluang menciptakan gol.
“Selepas perlawanan ini, mereka akan berehat beberapa hari memandangkan agak keletihan dengan jadual perlawanan yang ketat kebelakangan ini,” tambahnya.
Katanya, beliau akan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti serta berusaha meningkatkan lagi corak permainan terutamanya di bahagian serangan bagi menghadapi perlawanan mendatang.
Dengan keputusan itu menyaksikan Sarawak United terus kekal ditangga ke-10 dengan 14 mata hasil daripada dari 17 perlawanan yang telah dilalui setakat ini.
Oleh FATIN SYAHREZA