KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengambil tindakan serta-merta berhubung insiden pencerobohan data penyedia perkhidmatan gerbang pembayaran iPay88 (M) Sdn Bhd.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Cyber Security Malaysia (CSM) yang mengadakan pertemuan dengan pihak iPay88 kelmarin.
“Kes ini masih dalam siasatan lanjut oleh vendor iPay88 iaitu SISA dari Singapura yang sudah mengenal pasti jenis ancaman menggunakan ‘Cobalt Strike.’
“Pelayan yang terjejas sudah dikeluarkan daripada talian bagi tujuan siasatan lebih lanjut. Siasatan oleh SISA masih dalam tindakan dan segala keputusan akan dimaklumkan kepada JPDP dan CSM oleh pihak iPay88,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di premis sekitar Kok Lanas kelmarin.
Annuar juga berkata pihak iPay88 memaklumkan bahawa isu kebocoran data peribadi pengguna belum disahkan kerana siasatan masih berjalan.
“Bahagian teknikal iPay88 memaklumkan pelayan yang diserang tidak menyimpan data peribadi pengguna kerana data peribadi itu disimpan dalam pelayan berasingan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselatan siber menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu itu.
Kenyataan itu turut menjelaskan siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berhubung pelanggaran keselamatan tersebut. – Bernama