PROGRAM Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi Sarawak diadakan pada 5 hingga 7 Ogos 2022 di Dataran Perayaan Petra Jaya Kuching.
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sarawak telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di lebih 177 lokasi di seluruh negeri ini dengan pengunjung berjumlah 250,231 orang dan jumlah jualan mencecah RM 4.993 juta.
KPDNHEP Sarawak memberitahu, sehingga 31 Julai 2022, PJKM telah dilaksanakan di semua 222 Parlimen meliputi 2,421 lokasi (purata 10 lokasi setiap parlimen) dengan penglibatan dari 271 rakan strategik dan dengan pencapaian jualan sebanyak RM77.270 juta serta pengunjung seramai 4.204 juta orang.
“Sambutan pengguna dan peniaga di semua lokasi PJKM di Sarawak amat menggalakkan yang mana peluang untuk berjimat membeli barang keperluan harian pada harga murah sehingga 20 peratus lebih murah dari harga pasaran dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat,” kata kenyataan itu ketika mengulas kejayaan PJKM di Dataran Perayaan Kuching.
Pada hari terakhir, pengunjung PJKM berpeluang membeli seekor ayam pada harga RM6.00, Beras 10kg pada harga RM15.00 dan sepapan telur ayam Gred B pada harga RM7.00 semasa sesi Happy Hour.
“Dari maklumbalas yang diterima, rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini diteruskan secara berkala serta mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual di PJKM dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi sekarang ini,” ujarnya.
Antara lokasi PJKM di Sarawak meliputi Kuching, Sri Aman, Saratok, Sibu, Mukah, Belaga, Bintulu, Miri, Limbang, Kabong, Kapit, Santubong, Samarahan, Serian, Sibuti, Serian, Kota Samarahan, Sibuti dan Lawas
KPDNHEP menggalakkan rakyat negeri Sarawak untuk merebut peluang ini dalam merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan melalui PJKM di lokasi yang berdekatan dengan mereka.
PJKM yang telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 2 Disember 2021 di Lembah Pantai, Kuala Lumpur kini diteruskan menjadi sebahagian dari program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi Sarawak yang diadakan pada 5 hingga 7 Ogos 2022.
Oleh NUR AIN OTSMAN