BARANG ‘PANAS’… Antara tumpuan utama pengunjung yang hadir memeriahkan Program Jualan Keluarga Malaysia.
KUCHING: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang mendapat sambutan meriah akan diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak menurut Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri (PPDN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Korporat(KPDNHEP), Datuk Roziah Abudin.
Beliau berkata bermula 20 Ogos PJKM akan dimulakan di setiap peringkat DUN tidak kira DUN tersebut terletak di luar bandar ataupun dalam bandar.
“Di Malaysia ada lebih kurang 630 DUN, setiap 630 DUN ini akan melaksanakan PJKM setiap minggu. Sebelum ini PJKM kami laksanakan mengikut parlimen dan ia dilaksanakan setiap dua minggu. Sekarang setiap DUN, setiap minggu, itulah arahan yang diberikan,” katanya.
Tambah beliau, PJKM yang akan diadakan di setiap 630 lebih DUN nanti akan diadakan secara serentak dan KPDNHEP akan bekerjasama dengan kementerian yang lain bagi melaksanakan program tersebut. Tetapi di Sarawak, kementerian yang akan menjadi penganjur adalah KPDHNHEP.
” PJKM di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini menggunakan khemah dan dilakukan di tempat terbuka, PJKM di peringkat DUN nanti pula akan diadakan di mana-mana premis dan pasar raya yang ingin bekerjasama dengan Kementerian dan kami mengalu-alukan mana-mana pasar raya yang ingin menjadi rakan strategik kami bagi menjayakan PJKM nanti ini adalah sumbangan kerajaan dan pemain Industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di khemah PJKM sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching, semalam.
Sehubungan itu,Tinjauan yang dilakukan oleh Utusan Sarawak mendapati bahawa pengunjung yang menghadiri PJKM juga berpendapat bahawa program berkenaan perlu diadakan di kawasan-kawasan lain di Sarawak selain Kuching.
Menurut salah seorang pengunjung, Roslyzuandy Mohd Shibeli, program ini akan memberi manfaat yang baik disamping membantu rakyat terutama sekali yang tidak mempunyai peluang untuk berkunjung di PJKM kali ini atas sebab-sebab tertentu.
” Saya berasa amat beruntung kerana program ini diadakan si Kuching, tetapi saya juga berasa kasihan kepada individu yang tidak berkesempatan untuk berkunjung di program ini untuk membeli barangan keperluan pada harga yang amat murah atas sebab tidak mempunyai pengangkutan ataupun tinggal di kawasan jauh dari Kuching,” jelasnya.
Selain dari membantu rakyat, PJKM juga mampu membantu mempromosikan budaya dan adat di kawasan-kawasan terpencil kerana Sarawak kaya dengan adat dan budaya menurut Nor Shazwan Abdul Rahman.
” Sekiranya program sebegini dianjurkan di kawasan-kawasan pedalaman seperti kapit dan limbang sebagai contoh, penganjur-penganjur program tersebut berpeluang melihat dan menyaksikan adat dan budaya kaum lain di Sarawak.
” PJKM ini akan membantu ramai individu terutama sekali yang kurang berpendapatan untuk mendapatkan barangan keperluan. Dengan harga barang yang sedang melonjak naik, program sebegini sewajarnya dilakukan di setiap kawasan bagi membantu lebih ramai penduduk di negeri ini,” jelasnya lepada pemberita.