SIDANG MEDIA… Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penangguhan Seminar Zakat Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1444h Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Pusat Islam Tun Abg Salahuddin, UNIMAS di Kuching semalam.
KUCHING: Sebanyak 337 ketua isi rumah (KIR) dari tiga buah Kampung Seberang Hilir akan berpindah ke perumahan baharu di kawasan Darul Hana pada 22 Ogos ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tiga buah kampung tersebut ialah dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan juga kampung Lot Tambahan (berdekatan dengan MYDIN).
Katanya, seperti yang telah kita putusakan di peringkat pengurusan pembangunan Darul Hana bahawa tarikh 22 Ogos merupakan hari perpindahan kumpulan pertama masyarakat kampung ke kawasan bangunan Darul Hana.
“Mereka ini telah pun menyambut undi rumah masing-masing dua bulan lepas dan bersedia berpindah ke rumah masing-masing.
“Jadi pada 22 Ogos ini pada Isnin Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) akan menyampaikan kunci rumah, geran tanah dan pampasan perpindahan kepada ketua-ketua isi rumah selepas itu bolehlah mereka berpindah ke rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penangguhan Seminar Zakat Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1444h Peringkat Negeri Sarawak Di Dewan Pusat Islam Tun Abg Salahuddin, UNIMAS, semalam.
Dr Abdul Rahman berkata, mengenai bekalan bil elektrik dan air semuanya sudah dipasang.
“Kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air semua sudah dipasang semua, jadi mereka tidak perlu memohon untuk menyambung elektrik kerana kita akan menggunakan bekalan elektrik yang ada di kampung untuk mereka gunakan di rumah baru.
“Jadi kemudahan asas utiliti sudah pun disediakan di kawasan Darul Hana,” katanya.
Ketika ditanya mengenai bilakah perpindahan bagi kumpulan kedua, beliau berkata ia akan dilakukan selepas siapnya fasa kedua pembinaan rumah di fasa 2 yang akan berlangsung hampir dalam tempoh masa dua tahun.
“Ia akan melibatkan kampung-kampung bersebelahan seperti Kampung Panglima Seman Ulu, Kampung Pulo Hulu dan yang lain.
“Sekarang ini rumah itu sedang dibina, jadi kita belum pasti bila ia siap sepenuhnya jadi kita harap selepas setahun maknanya pada tahun 2023 atau 2024, kerana kita anggarkan kita memerlukan tempoh antara lapan hingga sepuluh tahun untuk semua kampung untuk berpindah ke kawasan Darul Hana.
“Keluarga-keluarga tambahan kita akan sediakan perumahan di Kampung Sungai Berdaun di Jalan Sultan Tengah,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO