UNTUK KENANGAN…. Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merakam kenangan bersama peserta Kejohanan Sukan Ekstrem MYSED di Gelanggang SAYS di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II, di Sibu kelmarin.
KEMENTERIAN Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) serius mempertimbangkan bagi membina kemudahan infrastruktur seperti Sibu Active Youth Space (SAYS) di bandar lain di Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bandar Sibu telah pun mempunyai kemudahan SAYS yang terbesar di Sarawak, tetapi bandar raya besar seperti Kuching masih belum ada memilikinya.
“Justeru itu, kami serius mempertimbangkan untuk mempunyai kemudahan seperti ini di Miri, Bintulu dan Kuching sebagai permulaan.
“Mungkin juga kita melihat keadaan di Mukah atau Betong jika perlu, kerana apa yang lebih penting adalah di bandar itu atau mana-mana kawasan itu mestilah mempunyai peminat sukan lasak yang ramai,” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Sukan Ekstrem MYSED di gelanggang SAYS di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II, di Sibu kelmarin.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan oleh MYSED dengan kerjasama Persatuan Sukan Ekstrem Sarawak (SESA).
Menurutnya, tidak semua golongan belia akan bermain sukan seperti bola sepak, futsal dan sebagainya, namun akan ada sebahagian dari mereka meminati sukan lasak.
“Dengan kemudahan infrastruktur seperti SAYS ini disediakan, mungkin dapat mengelak mereka daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak diingini.
“Jika ada peminat lasak sukan ini di bandar-bandar itu, kita akan pertimbangkan untuk menyediakan kemudahan seperti ini. Kosnya tidaklah begitu besar, tetapi ia banyak membantu untuk mengumpulkan golongan belia yang mempunyai minat dalam sukan ini,” ujarnya.
Mengulas tentang bandar pertama yang akan dipilh untuk diwujudkan kemudahan seperti SAYS ini, Karim memberitahu Kuching mempunyai kemudahan seumpama itu di Dewan Suarah, King Centre.
“Bagaimanapun, ia tak sebagus yang ada di Sibu. Kami merancang untuk mempunyai satu di dalam premis Kompleks Sukan Sarawak dan sudah mempunyai rancangan untuk itu.
“Satu lagi kawasan yang kami rasa sesuai ialah di Bintulu. Saya tahu Bintulu mempunyai peminat yang cukup kuat dalam sukan lasak ini.
“Kami berharap dapat melihat perkara ini dengan sesegera mungkin, dalam satu tahun akan datang dan kemudian mempertimbangkan untuk menyediakan kemudahan seperti ini,” ujarnya.
Dalam sidang media yang sama, Presiden SESA Nik Mohd Suhaily Bahari memberitahu, kejohanan itu telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 100 atlet sukan lasak dari seluruh Sarawak termasuk dari Semenanjung dan Indonesia.
Katanya, ada antara peserta adalah atlet yang pernah memenangi kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam kejohanan ini ialah BMX Stun, ‘Flatland challenge’ (BMX), roller blade dan ‘Skateboarding challenge’,” jelasnya.
SAYS terletak di Dataran Tuanku Haji Bujang Fasa II bernilai RM2.5 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Ia mempunyai plaza skate selebar 15 meter dan panjang 100 meter yang boleh digunakan oleh peminat sukan lasak papan luncur dan BMX.
SAYS adalah yang terpanjang di Sarawak direka bentuk melalui penglibatan belia tempatan dan boleh digunakan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Oleh AKUN GIMAN