TUMPUAN … Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen semalam. Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. • Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mekanisme sesuai bagi pelaksanaan subsidi bersasar sedang dirangka untuk memastikan peruntukan yang disalur kerajaan dinikmati mereka yang benar-benar berhak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata pelbagai perkara perlu diperincikan berhubung mekanisme berkenaan supaya peruntukan kerajaan untuk membantu rakyat negara ini tidak sewenang-wenangnya dinikmati pihak-pihak yang tidak layak, termasuk rakyat asing.
“Memang kerajaan kerugian besar akibat subsidi tersasar dan tidak bersasar ini kerana semua pihak menikmati subsidi yang sepatutnya dikhususkan untuk mereka yang berhak dapat iaitu golongan miskin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya.
Ismail Sabri mengambil maklum bahawa perkara itu telah dikaji beberapa kerajaan sebelum ini, namun belum dapat dilaksanakan sehingga kini.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang mengambil tindakan mengekang aktiviti penyeludupan barangan yang disubsidi seperti minyak masak di peringkat industri dan di sempadan negara.
Beliau berkata pihak berkuasa akan melakukan audit terhadap pengilang dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pembeli mereka.
“Yang paling senang menyeleweng contohnya pembungkus minyak (repackers), mereka diberi kebenaran untuk membungkus satu tan minyak masak contohnya, ke mana minyak masak itu dihantar, jadi kita akan dapatkan maklumat terperinci di kilang-kilang itu, siapa penerima minyak masak berkenaan,” katanya.
Menurutnya dari segi penyeludupan di sempadan pula kerajaan telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terlibat mengawasi aktiviti itu, selain pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Kerajaan tidak berdiam diri, Perdana Menteri tidak boleh dikatakan tak melakukan apa-apa tindakan, Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata bagi membantu Keluarga Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup, kerajaan memperuntukkan subsidi lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal RM31 bilion bagi 2022.
Beliau berkata ia termasuk subsidi minyak masak berjumlah RM4 bilion, gandum (RM40 juta), gas petroleum cecair (RM2.6 bilion), diesel (RM7.5 bilion) dan RON95 (RM27 bilion).
“Tidak ada subsidi yang ditarik balik, kalau ada kempen-kempen yang mengatakan sila kembalikan subsidi, itu tidak betul kerana subsidi tidak pernah ditarik balik sejak daripada mula kita laksanakan,” katanya.
Menurutnya subsidi yang diberikan kerajaan menyebabkan kadar inflasi negara berada pada 2.8 peratus, terendah di Asia Tenggara.
Perdana Menteri berkata selain pemberian subsidi, kerajaan turut menambah bantuan kewangan tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), dengan golongan B40 menerima maksimum RM2,600 setahun.
“Insya-Allah kita tengok keadaan, kalau perlu naik, kita naikkan, kalau harga barang sudah stabil kita tidak naikkan,” katanya.
Sementara itu menjawab soalan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai perbezaan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Ismail Sabri berkata pasukan khas itu menumpukan isu semasa dan terkini mengenai kenaikan harga barangan.
Sebaliknya beliau berkata NACCOL yang bermesyuarat dua kali setahun membincangkan isu dasar yang bukan hanya meliputi harga barangan malah antaranya kos pengangkutan dan isu perumahan.
“Pasukan khas ini yang dipengerusikan Ketereh (Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa) perlu membuat pengumuman atau sidang akhbar dua kali seminggu, jadi rakyat tahu perkembangan dan apa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya. – Bernama