BEKALAN MINYAK BERSUBSIDI DI PASARAN TERJEJAS… Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri
Annuar Musa seru kepada orang ramai untuk tolong hentikan (sengaja menaikkan harga) … beri kerjasama
dengan kerajaan untuk hentikan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan merugikan rakyat. Kerajaan
tahu akan kesusahan rakyat berkaitan tekanan harga barang naik dari segenap penjuru dan mulai sekarang
beliau yakin peniaga mendengar mesej ini dan akan berikan kerjasama untuk pastikan barangan yang disubsidi
tidak disalah guna. • Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan memastikan kadar inflasi di Malaysia berada pada tahap rendah serta boleh diuruskan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, kata Menteri Komunikasi
dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Annuar yang merupakan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu berkata, pasukan itu akan memberi perhatian kepada semua harga barangan dan perkhidmatan yang boleh menyumbang ke arah kenaikan kadar inflasi selain ayam, telur dan minyak masak.
“Kita juga memberi jaminan akan terus melaksanakan pendekatan secara proaktif mengawal dan mengekalkan negara berada pada kadar inflasi boleh diurus dan tidak mengalami inflasi tinggi,” katanya.
Annuar berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini semalam, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas itu bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Menyentuh mengenai kadar inflasi di Malaysia, beliau berkata, walaupun peningkatan inflasi berlaku di seluruh dunia, namun Malaysia mempunyai kadar inflasi antara paling rendah iaitu kira-kira 2.8 peratus berbanding negara ASEAN
lain mahupun negara maju.
“Mungkin ramai tidak menyedari bahawa keadaan ini adalah kerana komitmen kerajaan menggunakan pendekatan mengawal kenaikan harga terutama bagi barangan keperluan dengan kerajaan membayar subsidi tertentu.
“Dalam sidang Parlimen tahun lalu telah meluluskan anggaran belanjawan pembiayaan pelbagai bentuk subsidi untuk 2022 hanya RM33 bilion tetapi berasaskan kenaikan pelbagai harga barangan terutama kenaikan harga petrol dan lain-lain, MoF (Kementerian Kewangan) mengunjurkan keperluan sebenar pada tahun ini akan cecah lebih RM70 bilion.
“Ini bermakna, kerajaan mengekalkan dasar untuk terus memberi subsidi kepada barangan tertentu bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan dengan suasana inflasi yang sedang berlaku ketika ini dan mengekalkan negara pada tahap inflasi yang rendah,”katanya.
Ditanya sama ada penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi seakan sama dengan jawatankuasa lain seperti Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL),Annuar berkata ia tidak menimbulkan masalah.
Beliau berkata, laporan dan hasil mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan dibawa kepada Jemaah Menteri dan juga NACCOL.
“Pentingnya daripada laporan kita ini, kita ada jawatankuasa peringkat nasional, NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri.-Bernama