PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan MoU yang dibuat semasa Majlis IDECS 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam. • Foto Herriey Naha
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Microsoft semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan transformasi digital dalam kerajaan Sarawak dan sektor ekonomi utama termasuk pertanian dan pembuatan, serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.
Kerjasama itu dibuat berikutan Cloud Framework Agreement (CFA) yang ditandatangani antara Microsoft dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Microsoft dan Kerajaan Sarawak akan bekerjasama ke arah rangkaian ‘cloud’ yang dipercayai dan memperkasakan sektor awam dengan kemahiran digital untuk penjawat awam melalui Inisiatif Kemahiran Perusahaan (ESI) Microsoft, dengan sijil dan kursus daripada Microsoft Learn, LinkedIn Learn dan GitHub.
Menurut Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman, Sarawak telah menjadi penyumbang ekonomi utama kepada ekonomi Malaysia, membentuk 9.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara Malaysia.
“Perkongsian kami dengan Sarawak membina komitmen Bersama Malaysia kami untuk memperkasakan ekonomi digital inklusif negara kita dan memajukan transformasi digital merentas sektor swasta dan awam.
“Daripada infrastruktur digital kepada pembinaan kemahiran dan keupayaan, kami mahu memperkasakan setiap rakyat Sarawak dengan peluang yang sama untuk mendapat manfaat daripada gelombang transformasi digital, sambil memastikan pertumbuhan mampan bagi negeri ini dengan memanfaatkan teknologi,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Kerajaan Sarawak akan meneroka penyelesaian berasaskan ‘cloud’ untuk sektor pertanian yang memanfaatkan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, dan sokongan terancang untuk sektor pembuatan serta pemain PKS di negeri ini.
Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Microsoft dalam strategi keselamatan siber dan peta jalan untuk menambah baik postur keselamatan sibernya.
Apabila kerajaan Sarawak beralih kepada digital, menjamin ruang siber dan menggunakan penyelesaian pengurusan risiko yang berkesan adalah penting untuk kejayaan jangka panjang transformasi digital mereka.
Bagi merealisasikan rancangan di bawah kerjasama ini, Microsoft akan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak termasuk Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak (SSMU), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), dan Sistem Maklumat Sarawak (SAINS).
Oleh NUR AIN OTSMAN