PENYERAHAN… Datu Len Talif Salleh menyerahkan Surat Hak Milik Tanah kepada salah seorang penerima sambil
disaksikan oleh Datuk Rubiah Wang (kiri) di Dewan Suarah Samarahan, Kota Samarahan, semalam.
KOTA SAMARAHAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) berjaya mengukur 1,034,037 hektar tanah setakat 31 Mei lalu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 794,503 hektar telah diwartakan.
Katanya, semua kerja penyukatan tanah Bumiputera tersebut giat dijalankan melalui Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang mula diperkenalkan pada 2010.
“Kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa peka dan prihatin terhadap rakyat.
“Oleh itu, Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka sekiranya tuntutan itu adalah sahih mengikut perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN), Surat HakMilik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian/ Kediaman) Kampung Tanjung dan Kampung Tradisi Kampung Melayu di Dewan Suarah Samarahan, kelmarin.
Pada majlis itu, seramai 444 penduduk Kampung Melayu masing-masing menerima surat hak milik tanah Seksyen 18, manakala seramai 82 penerima pula dari Kampung Tanjung Bundong dan Muara Tuang.
Bagi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tanjung Bundong Fasa 4 dan 5 (Kediaman) diberikan kepada 154 penerima dan seorang penerima daripada Warta Rizab Kommunal Bumiputera dari Kampung Bangka Semong.
Menurut Len, penyukatan lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN ini giat dilaksanakan meliputi semua kawasan di seluruh Sarawak merangkumi semua kaum yang mempunyai hak ke atas tanah.
Jelasnya, pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN memberi manfaat kepada pemilik tanah termasuk tempoh pegangannya kekal.
“Oleh itu, pemilik tanah mempunyai hak milik kekal ke atas tanah itu, tidak dikenakan cukai tanah tahunan, kos pengukuran tanah dan penyediaan surat hak milik tanah selain turut dikecualikan premium tanah.
“Kerja pengukuran tanah NCR adalah mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang ditetapkan iaitu dilaksanakan berdasarkan permohonan tanah NCR yang diluluskan.
“Pengukuran pula, hanya dijalankan setelah mendapat persetujuan dan sokongan penuntut tanah terlibat. Jika mereka tidak mahu tanah mereka diukur perimeter, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan,” ujarnya.
Bagi kes yang masih dalam pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan kecuali kes tersebut diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat.
“Jadi selesaikan dengan cara baik dan berhemah. Kemudian, sekiranya mereka mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini semula, permohonan baharu perlu dikemukakan kepada JTS,” katanya.
Oleh SYAMIMI HUSNA