MERASMIKAN… Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii semasa merasmikan Bengkel ‘Miri Smart City (MSC): The Way Forward 2022’ anjuran MBM di sebuah hotel di Miri, semalam.
MIRI: Penggunaan aplikasi WhatsApp menjadi medium yang berkesan dalam memperkukuh sistem maklum balas Bandar Pintar Miri.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii Siew Sang berkata, kaedah ini merupakan satu langkah bijak kerana penggunaan WhatsApp yang meluas dalam semua telefon pintar dan di seluruh dunia.
“Sebenarnya hampir setiap pemilik telefon bimbit di bahagian dunia ini telah memuat turun aplikasi whatsapp dan berkomunikasi antara satu sama lain, sama ada individu atau berkumpulan setiap hari dan kerap.
“Oleh itu, pemautan program Miri Smart City (MSC ) dengan WhatsApp akan meningkatkan maklum balas dan sistem pemantauan dengan lebih berkesan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Bengkel ‘Miri Smart City (MSC): The Way Forward 2022’ anjuran MBM yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.
Dalam majlis tersebut, Adam Yii turut menyentuh mengenai pelaksanaan konsep Bandar Pintar Miri dengan menggunakan kereta pintar.
Katanya, pada masa kini orang ramai tidak lagi perlu membuka kereta dengan kunci kereta dan pada masa sama menghidupkan enjin kereta.
“Untuk menggunakannya, hanya perlu mengetahui ciri yang disediakan dan menggunakan sebaiknya sesuai dengan konsep Bandar Pintar Miri,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar, Julaihi Mohamad dan Pemangku Setiausaha Bandaraya Abdul Rahman Taupek.
Oleh LIONG CHAI LING